Wings-1

Sebut sahaja nama Wings, siapa yang tidak kenal mereka ini? Lagu-lagu dari kumpulan ini sentiasa menjadi lagu wajib untuk mereka yang suka berkaraoke. Tak cukup disitu, radio-radio juga masih lagi memutarkan lagu-lagu mereka yang sentiasa segar di telinga pendengar.

Dianggotai oleh 4 orang ahli yang kami boleh gelar ‘legend’ iaitu Awie (vokal), Joe (Gitar), Eddy (Bass) dan juga Black (drum), kumpulan ini pernah bertukar vokalis sebanyak 3 kali sebelum kembali semula kepada Awie.

Selepas pertama kali membuat persembahan ‘Opera Hidup’ di Istana Budaya sebelum ini, kumpulan Wings kini kembali semula menemui peminat secara eksklusif pada 26-28 April dan juga 30 April 2013. Kejayaan yang diraih pada konsert sebelum ini membuka mata pihak Istana Budaya dan juga Wings untuk menghiburkan peminat-peminat mereka yang sentiasa dahagakan lagu-lagu dari Wings.

Ditanya adakah konsert ini bakal diberikan kelainan, Awie memberitahu bahawa ia akan kekal dengan konsep orkestra.

“Ini memang sepenuhnya persembahan orkestra seperti yang lepas.”

Menjawab pada soalan mengenai halangan terhadap persembahan kali ini, kumpulan Wings mendedahkan bahawa pihak Istana Budaya memberikan kepercayaan kepada mereka.

Wings-4

“IB tak halang dari sudut kreativiti, cuma protokol sahaja yang perlu dijaga. Contohnya, kami tak boleh lah berpakaian compang-camping dan semuanya kena jaga.

“Dari show lepas, banyak yang kami belajar kerana tiada tentangan daripada pihak IB. Kali ini, kami akan lebih pelbagaikan pakaian dan kemaskan diri namun tetap tidak akan lari dari imej rockers. Apa yang kami risaukan hanyalah peminat yang datang,” tambah Awie lagi.

Awie turut menyatakan rasa yakinnya pada peminat yang hadir dan mahukan mereka datang dan pulang dengan perasaan gembira.

“Ya, kami confident dengan peminat. Tempat duduk pun ada seribu lebih saja. Yang penting peminat terus memberi sokongan untuk kami teruskan perjuangan dan mahu peminat ambil yang ‘jernih’ dari kami.”

Wings-2

Elemen Surprise

Selepas hampir 28 tahun ditubuhkan, Wings adalah satu-satunya kumpulan rock dari era 80-an yang masih mampu bertahan sehingga sekarang. Ditanya apakah elemen ‘surprise’ yang bakal mereka tampilkan, Awie memberitahu mereka bakal tampil dengan sebuah lagu baru.

“Insya-Allah, kami ada lagu baru. Elemen rock itu tetap ada namun kami masih rahsiakan lagu itu.

Wings juga menjelaskan, sepanjang 4 hari persembahan di Istana Budaya, mereka akan kekal dengan susunan lagu yang sama.

“Setiap malam, kami akan nyanyi lagu yang sama sebab ini adalah arrangement orkestra. Kami kena ikut disiplin mereka. Antara lagu-lagu popular yang akan disampaikan ialah ‘Sejati’, ‘Taman Rasyidah Utama’ dan juga lagu-lagu lama yang jarang kami sampaikan sebelum ini.

“Muzik juga akan diolah semula dan dibentuk mengikut susunan orkestra. Mereka akan buat lagu kami nampak lebih dramatik, gothik dan lebih mantap,” tambah mereka lagi.

Wings-3

Album Baru

Menyentuh pada isu penghasilan album pula, Wings sememangnya sudah pun dalam proses menghasilkan album terbaru mereka. Namun ianya terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu kerana mereka mahu fokus pada persembahan Rockestra Wings di Istana Budaya ini nanti.

“Kami sudah dalam proses untuk hasilkan album. Cuma vokal saya yang masih belum dimasukkan.

“Album baru ini tetap dengan muzik dan cara Wings, cuma perubahan adalah dari segi teknologi dan juga bunyi. Kami masukkan elemen baru dan juga retro untuk memberi kepuasan kepada pendengar. Yang pastinya, album baru ini pasti buat para pendengar terkejut,” tambah Joe, gitaris kumpulan Wings.

Disiplin

Pasti ramai yang hairan bagaimana Wings masih mampu bertahan sehingga sekarang kan? Menyentuh mengenai isu ini, Awie menegaskan, disiplin adalah perkara yang paling dititikberatkan sekali untuk seseorang itu bertahan di dalam industri.

“Pada saya, main muzik haruslah jujur dan ikhlas. Jujur pada saya bermaksud tak rugi dan tidak mengecewakan. Contohnya, Wings sendiri masih bertahan. Tengok saja pada Datuk Siti Nurhaliza dan Sheila Majid serta Jamal Abdillah. Mereka fokus pada muzik dan kini semuanya berjaya kerana disiplin.

“Kenapa sekarang ramai pendatang baru tak berjaya?” tegas Awie mengakhiri perbualan.

Kumpulan Wings bakal membuat persembahan secara eksklusif di Panggung Sari, Istana Budaya bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan pada 26-28 April dan juga 30 April 2013. Konsert rockestra ini bakal bermula pada jam 8.30 malam dan anda boleh dapatkan tiket pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245 dan RM305 di www.ticket2u.biz.

Jangan lepaskan peluang ini kerana kita tidak tahu, bila lagi Wings bakal muncul untuk persembahan seterusnya.


Source : OhBulan!

 
Eksklusif untuk peminat tegar Awie, Ian (dua dari kiri), Hillary (empat dari kiri) dan anggota Wings bergambar selepas sidang media kedua Konsert Wings Rockestra 2013 di Panggung Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur.

Peminat tidak mungkin dapat mengikuti Konsert Wings Rockestra di Istana Budaya (IB) menerusi kaca TV mahu pun video cakera padat (VCD), sebaliknya persembahan selama empat hari bermula 26 April ini eksklusif untuk pembeli tiket.

Pemain gitar kumpulan itu, Joe, berkata pihaknya tidak merancang merakamkan konsert berkenaan untuk tujuan komersil demi memastikan pengikut tegar mereka menyaksikan kolaborasi istimewa Wings dengan ramai pemuzik hebat.
“Kami berbesar hati apabila Wings sekali lagi diberi kepercayaan beraksi di pentas IB selepas penampilan sulung sekitar April 2011. Lebih istimewa, selain diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang dipimpin Mustafa Fuzer itu, kami juga akan bekerjasama dengan pemain gitar God Bless, Ian Antono, serta Hillary Ang.

“Tidak adil buat mereka yang bersemangat mendapatkan tiket andai konsert ini dirakamkan. Jadi kami sepakat hanya tampil mengadakan konsert ini ekslusif di hadapan penonton. Ia lebih bermakna,” katanya pada sesi pratonton di sini, kelmarin.

Ian yang pernah mengadakan konsert dengan Search di Stadium Merdeka pada 2004 diterbangkan ke Kuala Lumpur kelmarin, untuk diperkenalkan kepada media dan dijadualkan kembali semula ke sini seminggu sebelum konsert.

Kerjasama dengan Ian Antono

Mengenai gandingan bersama gitaris terkemuka Indonesia yang sudah lebih tiga dekad di arena muzik itu, akuinya lagi, Ian ialah maestro gitar idola ramai, malah sedari awal mereka membesar dengan petikan instrumennya.
“Opera Hidup sangat berbeza apabila kami berpadu dengan bekas anggota Wings dan kali ini kami gembira berpeluang berkongsi pentas bersama Ian selain Hillary yang berprofil tinggi,” katanya yang memaklumkan gabungan mereka bertiga ditonjolkan dalam segmen selingan selama 20 minit.

Pada persembahan kali ini, kumpulan yang turut dibarisi Awie, Eddie dan Black itu bakal menampilkan 18 lagu yang jarang dipersembahkan pada konsert terdahulu.

“Wings mempunyai banyak lagu daripada 17 album studio. Selain 18 lagu terbabit, kami juga mengalunkan Rashidah Utama serta Sejati,” akui Awie pula yang sebelum ini pernah beraksi dengan Ian.

Ada pihak sebar maklumat palsu

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Muhamed Juhari Shaarani, berkata orang ramai diharap tidak mempercayai khabar angin mengenai tiket yang dikatakan sudah habis kerana ia masih boleh didapati secara terus atau talian.

“Bukan hanya konsert ini, beberapa persembahan terdahulu di IB juga menerima nasib sama apabila ada pihak tidak bertanggungjawab seakan mahu mensabotaj jualan tiket dengan menyebarkan maklumat palsu.

“Setakat ini lebih 40 peratus tepat duduk sudah dijual, namun kami meminta peminat kumpulan yang sudah bertapak hampir 25 tahun ini mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kecewa,” katanya.


Sumber : Berita Harian

 

Wings Jemput Hillary Ang & Ian Antono

27 Mar 2013

 

Wings bakal berkolaborasi dengan dua gitaris ternama, Ian Antono, daripada kumpulan God Bless, Indonesia dan Hillary Ang dalam konsert Wings Rockestra yang akan mengegarkan pentas Istana Budaya pada 26, 27, 28, dan 30 April ini.

Dua nama tersebut masing-masing mempunyai portfolio tersendiri dan perjalanan muzik sebagai gitaris yang cukup terkenal serta professional. Tiga gitaris hebat, Joe Wings, Ian Antono dan Hillary Ang akan bergabung tenaga dalam satu segmen selama 20 minit.

“Kami telah lama bercita-cita untuk berkolaborasi bersama dengan Pak Ian (Ian Antono). Saya berharap agar para peminat tegar akan terhibur dengan gandingan mantap ini nanti. Kami akan mempersembahkan dua buah lagu iaitu 'Rashidah Utama' dan 'Sejati' yang pernah dinyanyikan pada konsert terdahulu,” kata Joe ketika ditemui di sidang media konsert ini pada Selasa.

Kumpulan Wings pernah beraksi di pentas IB pada tahun 2011 sambil diiringi orkestra sempena Konsert Wings Opera Hidup. Kali ini, Wings menjanjikan sesuatu yang berlainan yang mana mereka akan mempersembahkan 18 buah lagu yang belum pernah dinyanyikan pada konsert sebelum ini.

Persembahan mereka akan diiringi oleh 43 pemuzik Okestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer serta penggubah muzik orkestra, Lee Tse Wan.

Joe menambah yang konsert Wings Rockestra ini tidak akan dijual dalam bentuk rakaman atau sebarang rancangan televisyen kerana ingin memberikan hak ekslusif kepada para peminat tegar mereka yang datang menonton ke Istana Budaya.

Tiket konsert Wings Rockestra boleh dibeli dengan melayari http://www.ticket2u.biz pada harga RM499, RM399, RM299, RM249, RM199, RM149, RM99 dan RM69


Sumber : Gua.com.my

 

Jangka masa 27 tahun bukanlah singkat. Dalam tempoh itu, pelbagai kisah suka duka dilalui kumpulan Wings sejak mereka ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 1986.

Walaupun pernah melalui zaman kejatuhan apabila penyanyinya, Awie meninggalkan Wings pada 1993, namun tiga lagi anggotanya iaitu Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) cekal meneruskan perjuangan rock mereka.

Namun mereka kembali bersatu pada 2002 dan hingga hari ini, Wings kekal relevan sebagai antara legenda rock Melayu.

“Dari segi penerimaan orang, Wings tidak lagi menghadapi masalah. Apa yang kami bawakan sekarang diterima dengan mudah berbanding lebih 20 tahun lalu,” kata Joe ketika sesi fotografi bersama RAP di Heritage Club, The Royale Chulan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Katanya, selagi peminat mahukan mereka dan rasa hormat menghormati sesama mereka selaku anggota Wings itu ada, Wings akan terus kekal.


“Sudah 11 tahun kami tidak merakam album baru selepas Naga Kramat pada 2002 tetapi tawaran persembahan tidak pernah putus. Peminat masih mahukan lagu-lagu daripada album lama seperti Belenggu Irama, Hukum Karma, Teori Domino, Jerangkung Dalam Almari dan Bazooka Penaka yang dirakam antara 20 hingga 27 tahun lalu. Itulah yang indah mengenai Wings,” katanya.

Cerita Wings ibarat satu hikayat penuh ranjau. Usaha mereka untuk terbang tinggi seperti sekarang penuh dengan onak duri. Gara-gara bermain muzik rock, mereka pernah dihina, dilabel sebagai ejen budaya negatif, malah pernah dikenakan sekatan hingga lagu mereka diharamkan di radio dan televisyen.

Pada November 1992, tentu ada yang masih ingat upacara simbolik memotong rambut Awie dan Amy Search oleh Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamed Rahmat (Allahyarham) dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Besar, Angkasapuri.

Ia diibaratkan Wings akhirnya ‘menyerah kalah’ apabila mereka akur dengan larangan artis lelaki berambut panjang muncul di TV dan mengadakan konsert.

Awie berkata, pada waktu itu tiada isu yang boleh dibangkitkan dan isu rambut panjang akhirnya ‘dikambing hitamkan’.

“Hingga hari ini, saya tetap berpendapat ia adalah isu remeh yang sengaja diperbesarkan. Waktu itu, seorang wartawan muzik dari Sweden datang berjumpa saya dan dia sendiri pelik dengan perkara itu.

“Apa yang pasti, isu berkenaan tidak mematikan perjuangan muzik rock, malah menjadi semakin luas dan muzik rock terus hidup. Wings sendiri terus kekal hingga hari ini, malah semakin diterima semua pihak.

“Ini bukti isu rambut panjang adalah isu remeh yang tidak perlu diperbesarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Wings bakal melahirkan album terbaru mereka berjudul Menakluk Kosmos yang dijangka dipasarkan tahun ini.

Awie berkata, album berkenaan tertangguh selama tiga tahun kerana mereka masih tercari-cari penulis lirik berkaliber selepas kehilangan penulis lirik yang sinonim dengan mereka seperti Allahyarham Loloq dan JS Kevin.

“Album itu masih dalam proses pembikinan. Hanya bahagian vokal saja belum dirakam lagi,” katanya.


2 bulan pilih lagu Konsert Wings Rockestra 2013

Dua tahun lalu, Wings mengang­kat ‘martabat’ muzik mereka yang bermula dengan persembahan atas pentas kecil berbumbung zink di ‘funfair’, ekspo, dewan badminton hinggalah stadium kepada pentas berprestij tinggi iaitu Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur dalam Konsert Wings Opera Hidup Rockestra dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Berikutan sambutan hebat, IB sekali lagi memberi peluang Wings kembali menakluk pentas berprestij itu dengan konsert Wings Rockestra 2013 selama empat hari diiringi 42 pemuzik OSK pada 26, 27, 28 dan 30 April depan.

Joe yang juga pengarah muzik konsert itu berkata, Wings Rockestra 2013 nyata berbeza dengan konsert pada 2011 lalu terutama dari segi pemilihan lagu.

Katanya, 80 peratus lagu yang akan dipersembahkan adalah yang jarang dan tidak pernah mereka mainkan seperti Harapan, Aku Pun Tahu, Dalam Kehadiran Sofiah dan Amok.

“Kami juga menggunakan lebih banyak pemuzik di bahagian ‘string’ bagi menyesuaikannya dengan muzik rock. Lagu-lagu pula kami gubah kembali bagi menjadikannya lebih segar,” katanya.

Joe berkata, dia mengambil masa dua bulan untuk memilih lagu-lagu yang bakal dipersembahkan sebelum ditapis lagi bersama Awie, Eddie dan Black untuk tempoh dua minggu lagi. Hanya selepas itulah baru mereka memilih 20 lagu yang betul-betul sesuai.

“Lagu-lagu dipilih berdasarkan banyak faktor seperti permintaan peminat, rakan-rakan, saudara-mara dan juga anggota Wings. Namun lagu wajib seperti Sejati dan Taman Rashidah Utama tidak boleh kami lupakan kerana ia menjadi permintaan ramai,” katanya.

Konsert yang bermula jam 8.45 malam itu akan berlangsung dalam dua segmen dan difahamkan Wings bakal membuat kejutan dengan mengundang seorang pemuzik antarabangsa membuat persembahan pada pertengahan segmen itu.

“Pada 2011 kami mengundang bekas anggota Wings seperti Mus, Mel, Syam dan Jojet tampil membuat persembahan bersama tetapi kali ini hanya Wings saja. Kami cuma mengundang seorang pemuzik antarabangsa yang identitinya terpaksa kami rahsiakan dulu,” katanya.

Katanya, walaupun empat persembahan itu menampilkan lagu-lagu yang sama tanpa sebarang perubahan tetapi ia tetap berbeza terutama ‘mood’ dan suasana konsert.

Menurut Joe, mereka gigih mengadakan latihan sejak dua bulan lalu di mana setiap kali latihan mereka akan memainkan 20 lagu sebanyak 50 kali!

“Itu baru bahagian Wings, dua minggu sebelum konsert kami akan berlatih bersama OSK pula. Persembahan bersama pemuzik orkestra memang mencabar kerana kami bermain muzik mengikut hati sedangkan mereka membaca nota muzik. Namun ini yang menjadikan kami lebih berdisiplin,” katanya.

Awie berkata, sebagai penya­nyi dia sudah melakukan persiapan rapi termasuk kerap bersenam bagi memastikan dia lebih bertenaga pada malam persembahan nanti.

“Dengan pengalaman yang ada, saya tidak ada masalah de­ngan setiap persembahan. Cuma saya bimbang jika kesihatan terganggu dan harapnya saya kekal sihat hingga tamat konsert,” katanya.

Dalam pada itu, Wings juga tidak bercadang untuk merakam­kan konsert berkenaan dalam bentuk cakera padat digital (DVD), cakera padat video (VCD) atau cakera padat (CD) kerana berasakan ia tidak boleh mendatangkan keuntungan berikutan pasaran yang kecil.

“Kos untuk membuat rakaman adalah tinggi tetapi keuntungan yang diperoleh dengan penjualan DVD, VCD atau CD tidaklah besar mana.

“Selain itu, konsert ini juga akan jadi lebih eksklusif. Jika anda mahu menontonnya, anda perlu datang ke IB. Jika terlepas, anda hanya akan mendengar cerita orang saja,” katanya. 

Tiket konsert Wings Rockestra 2013 dijual pada harga RM499, RM399, RM299, RM249, RM199, RM149, RM99, RM69. Tiket boleh dibeli menerusi laman web http:// www.ticke ticket2u.biz.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

 

Awie and his iconic rock band return to Istana Budaya for a new collaboration with the National Symphony Orchestra, writes Dennis Chua

THE hard-rocking quartet Wings will take die-hard fans on its second major “flight” to Istana Budaya on April 26, 27, 28 and 30.

Vocalist Awie (Ahmad Azhar Othman), guitarist Joe (Abdul Zamin Abdul Kadir), drummer Black (Azmi Hashim) and bassist Eddie (Samsaidi Ulong Idris) are marking their second concert at the national theatre, located in Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, since Opera Hidup two years ago.

Konsert Wings Rockestra is their second collaboration with the National Symphony Orchestra (NSO) led by Mustafa Fuzer Nawi. The NSO had joined Wings in Opera Hidup, but this time, they will play a bigger role by giving more of Wings’ songs an orchestral touch.

Istana Budaya director-general Datuk Juhari Shaarani says: “Wings is an icon of all-Malaysian rock music. Bringing Wings and the NSO together means combining the best in rock and orchestral music of Malaysia.”

The concert’s director Azmi Zainal Abidin says: “The concert will be divided into two segments — a joint performance by Wings and the NSO and then, a Wings’ solo.

“It will be complemented by state-of-the-art technology that projects scenes of Wings’ famous concerts of yesteryear.”

Singer-actor-television personality Awie says they will focus more on their less-known songs, without ignoring hits such as Peronda Jaket Biru, Misteri Mimpi Syakila, Hukum Karma and Taman Rashidah Utama.

“We’re going to perform as many gems from our 17 albums as possible as well as songs from our new Menakluk Kosmos album.”

Mustafa Fuzer says both the group and the orchestra have been busily rehearsing daily for two weeks, for the 2½-hour concert.

“There will be 43 NSO musicians joining Wings on stage,” he says.

Joe, the concert’s music director, says they have a very talented orchestra music arranger in Lee Tse Wan. “It is never easy to bring rockers and orchestral musicians together to play rock anthems, but we have a brilliant team of collaborators here,” says Joe.

Awie says there will be two guest artistes, to be announced later. “A total of 20-odd songs will greet fans in the national theatre for four nights,” he says.

Tickets are priced from RM69 to RM499. Call 012-2988 446 / 017-6528 423 / 03-4026 5555.

Wings (from left) Eddie, Black , Awie and Joe.

Wings (from left) Eddie, Black , Awie and Joe



Sumber : NST

 
More Articles...