Click on the slide!

Konsert Wings 30 Tahun

Konsert Wings 30 Tahun

Konsert Wings 30 Tahun

Click on the slide!

WINGS Versi Tanpa Distortion

8 Jun 2014 @ PICC Putrajaya - 8.45 malam

WINGS Versi Tanpa Distortion 8 Jun 2014 @ PICC Putrajaya - 8.45 malam

Click on the slide!

MENAKLUK KOSMOS

Album studio WINGS yang ke-17

Syukur Alhamdulillah 22/5/2014 mencatat detik bersejarah buat kita semua. Album studio WINGS yang ke 17 mula menakluk pasaran

Frontpage Slideshow (version 2.0.0) - Copyright © 2006-2008 by JoomlaWorks

30 tahun ‘menjinak’ ombak bukan satu jangka masa yang pendek buat mereka. Dalam tempoh berkenaan pelbagai suka duka silih berganti yang terpaksa mereka harungi demi memastikan kelangsungan hidup sebagai anak seni.

Daripada pemuzik biasa yang bermain di kelab-kelab di sekitar ibu kota ketika itu, segala-galanya diharungi dengan tenang sehingga mereka mampu membina empayar dan ‘tumbuh’ sebesar ini.

Jika ditanya kepada Awie, Joe, Eddie dan Black, mereka sendiri pun tidak pernah menyangka yang Wings akan mampu bertahan selama ini. Pastinya ini merupakan detik istimewa untuk mereka merayakan pembabitan 30 tahun dalam industri.

Mengambil keberkatan Ramadan yang mulia untuk meraikan ulang tahun tersebut, sudah tentu ada yang lebih besar sudah dirancang oleh Wings bagi meraikan detik istimewa ini bersama-sama peminat.

Mereka sepakat menjadikan tarikh keramat 31 Oktober 2015 untuk membikin sebuah lagi konsert berskala besar bagi merayakan ulang tahun tersebut di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Menjanjikan sesuatu yang istimewa buat peminat mereka, pastinya konsert tersebut bakal disertakan dengan karnival tiga hari di sekitar perkarangan stadium keramat berkenaan.

Bagi keempat-empat anggota Wings, pastinya ini merupakan masa untuk mereka memerah otak dan membuat perancangan kerana masing-masing tidak mahu terlihat klise.

    

    Awie sebak

MENGENANGKAN perjalanan seni tiga dekad itu membuatkan Awie sebak. Baginya Wings tidak pernah berpecah atau dibubarkan tetapi hanya ahlinya sahaja silih berganti ketika fasa awal dahulu.

Paling diingati pastinya perjuangan awal mereka satu ketika dahulu. Kesusahan yang dilalui oleh kesemua anggota Wings sebenarnya mematangkan mereka untuk mengekalkan persahabatan sampai ke hari ini.

“Kalau mahu dikenangkan kembali permulaan kami dahulu memang agak perit. Kami pernah tidur di bawah kolong beberapa bulan dan pernah dihalau dari rumah sewa gara-gara tak bayar sewa rumah selama lima bulan.

“Paling dahsyat apabila terkenangkan bab makan. Makan nasi hanya berlaukkan kuah sahaja, ada sambal tapi tak ada ikan dan kalau dapat makan ikan sardin itu sudah dikira paling mewah,” kenang Awie.

Pun begitu dia tidak pernah menjadikan perkara tersebut sebagai kenangan pahit. Baginya semua itu merupakan satu perjalanan hidup dan keperitan itu yang mematangkan mereka.

Ketika ditanya apakah rahsia mereka mampu mengekalkan persahabatan dan berjaya menjadi kumpulan rock berpengaruh, Awie menjelaskan perkara tersebut berlaku secara semula jadi.

“Semua orang perlu melalui ranjau dan onak duri. Kalau mereka berjaya hidup susah bersama-sama, insya-Allah hubungan itu akan kekal sampai bila-bila,” jelasnya ringkas.

      

     Joe cari idea

BERTINDAK sebagai ‘master mind’ dalam kebanyakan konsert sebelum ini, pasti Joe antara orang paling sibuk memerah idea dan keringat untuk merealisasikan konsert pada Oktober nanti.

Meskipun ramai yang mempersoalkan kewajaran Wings menganjurkan lagi konsert memandangkan mereka sudah tampil dengan beberapa siri konsert dan jelajah lain sebelum ini, Joe tetap dengan pendiriannya.

“Apa yang berlebihan? Saya tak pernah rasa Wings sudah melakukan konsert berlebihan dan menyebabkan peminat enggan lagi turun padang menyaksikan kami beraksi.

“Kalau nak dibandingkan dengan kumpulan Indonesia sebagai contoh, setiap penyanyi terlibat dalam beratus-ratus buah konsert dalam masa setahun sedangkan kami baru empat kali sahaja.

“Saya tak rasa konsert kali ini memberikan impak negatif kepada kerjaya kami. Sepatutnya ini yang perlu dilakukan oleh penyanyi yang menjangkau usia puluhan tahun,” tegasnya.

Enggan mendedahkan butiran konsert yang bakal diadakan nanti, Joe menjelaskan perkara tersebut masih dalam perancangan pihak produksi.

Baginya Wings sentiasa menjanjikan idea-idea baharu pada setiap persembahan yang dilakukan.

     

   Eddie teruja

MENJADI satu-satunya anggota asal Wings yang tidak pernah berpecah, Eddie menganggap kesetiaannya itu sebagai satu perjalanan hidup yang ‘manis’.

Baginya sepanjang tiga dekad dengan Wings, dia menjadi saksi kepada jatuh bangun, perpecahan dan pergeseran sesama anggota baik yang masih ada atau yang sudah membawa haluan sendiri.

“Saya setia bersama-sama Wings sebab saya hanya pandai bermain muzik. Kalau nak keluar dan ceburi bidang lain rasanya tak mungkin. Nak tak nak saya kena setia dengan mereka,” kata Eddie.

Sebelum menyertai Wings, Eddie pernah menyertai kumpulan KB Blade yang turut dianggotai oleh adik-beradiknya yang lain. Mereka bermain muzik sebagai aktiviti suka-suka sebelum bakatnya dikesan.

“Syam tawarkan saya untuk sertai mereka bermain muzik di kelab jazz. Padahal bukan kelab jazz pun sebaliknya kelab rock yang memang banyak ketika itu.

“Waktu itu kumpulan itu dianggotai oleh Jojet, Zul, Syam dan Awie. Saya masuk menggantikan Zul dan di situlah bermulanya kisah perjalanan pertama Wings,” cerita Eddie lagi.

Dalam pada itu, Eddie sendiri melahirkan keterujaan untuk melakukan konsert di Stadium Merdeka nanti. Baginya tempat tersebut bakal mencipta satu lagi sejarah buat mereka.

   

   Black bersyukur

MENJADI antara pemain deram paling sukses di Malaysia, tiada siapa yang boleh mempertikai kehebatan Black. Menganggap perkara itu sebagai kurniaan dan kebolehan diri, pastinya itu menjadi kekuatan dirinya.

Bagi Black dia teruja menantikan konsert besar yang akan diadakan nanti memandangkan itu akan menjadi medan untuk mereka membuktikan kehebatan sebagai sebuah kumpulan berpengaruh.

“Memang ramai orang bertanyakan mengapa kerap membuat konsert sejak kebelakangan ini. Pertamanya ini (konsert akan datang) akan menjadi penanda aras pencapaian 30 tahun kami dalam industri.

“Konsert ini bukan penamat kepada sebuah perjalanan tetapi saya menganggap sebagai ‘pembuka pintu’ kepada fasa seterusnya,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Black tidak menafikan kekalnya mereka sebagai sebuah kumpulan disebabkan persefahaman dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi antara satu sama lain.

Apabila persefahaman ada, segala masalah yang datang melanda pasti dapat diatasi dan tidak menjadi barah yang boleh menghancurkan mereka.

“Situasi antara kumpulan dahulu dengan kumpulan sekarang banyak berbeza. Nak tubuh kumpulan tak susah tapi nak kekalkan itu yang menjadi masalah.

“Alhamdulillah Wings mampu bertahan selama ini... sudah besar rahmat buat saya. Setidak-tidaknya saya juga gembira kerana berjaya menghiburkan peminat kami dalam tempoh ini,” ungkap Black lagi.

Source : Utusan Malaysia